Bahasa Melayu sebagai Bahasa Utama Dunia

Rusli Abdul Ghani
(rusli@dbp.gov.my)
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Abstrak
Bahasa Melayu/Indonesia berpotensi untuk menjadi bahasa utama dunia tetapi bukan hanya dengan meningkatkan bilangan penuturnya. Jikalau bilangan jiwa yang menjadi tolok, tentunya bahasa Mandarinlah yang merupakan bahasa paling utama di dunia. Makalah ini meneliti sepintas lalu sejarah bagaimana tiga bahasa menjadi bahasa utama dan menyelusuri kebangkitan bahasa Inggeris daripada bahasa daif puak Angle dan Saxon menjadi bahasa dunia yang dominan dalam diplomasi, sains, ekonomi, hiburan, teknologi maklumat dan komunikasi. Iktibar daripada peristiwa ini dijadikan pedoman dan panduan untuk merangka strategi agar bahasa Melayu/Indonesia juga mampu menjadi salah satu bahasa utama dunia.
1.0 PENDAHULUAN
Ada bahasa di dunia ini suatu masa dahulu sangat utama dan meluas penggunaannya tetapi kini hanya terbatas di sekitar kawasan pemastautin penutur aslinya sahaja. Bahasa Itali umpamanya.
Bahasa seperti bahasa Perancis dan bahasa Jerman pernah satu masa dahulu sangat dominan, terutama dalam bidang politik dan diplomasi. Ada pula bahasa yang dahulunya numero uno kini sudah dianggap ‘mati’ kerana sudah tidak ada penutur aslinya lagi. Contoh terbaik ialah bahasa Latin.
Ada bahasa yang dahulunya terpinggir dan dicemuh sesetengah cendekiawannya sendiri kini merupakan bahasa yang benar-benar menepati takrifan bahasa global.
Setiap bahasa utama di dunia, baik yang pernah menjadi utama suatu ketika dahulu, mahupun yang sedang mendominasi, berkongsi ciri yang membolehkan bahasa tersebut berperanan sebagai bahasa utama meskipun sejarah kebangkitan masing-masing mungkin berbeza sedikit.
Makalah ini meneliti beberapa bahasa yang menjadi bahasa utama dunia dan mengenal pasti serta mencerakinkan faktor yang berperanan dalam pemerkasaan bahasa tersebut agar unsur yang serupa dapat dimanfaatkan dalam perencanaan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu/Indonesia sebagai salah satu bahasa utama dunia.
2.0 BEBERAPA BAHASA BESAR
Antara beberapa bahasa dunia yang boleh dianggap besar, terutama dari segi bilangan penuturnya, termasuklah bahasa Jerman, Perancis, Sepanyol, Arab, Mandarin dan Inggeris. Daripada kelompok ini kita hanya membincangkan tiga bahasa dengan lebih lanjut.
2.1 Jerman sebagai Bahasa Utama
Bahasa Jerman yang baku dan moden boleh dikatakan bercambah daripada benih Reformasi yang dicetuskan oleh Martin Luther pada 1519. Bahasa Jerman yang beliau gunakan dalam terjemahan Injil menjadi teras kepada bahasa Jerman piawai. Bahasa ini kemudiannya dikembangkan menjadi bahasa kesusasteraan melalui karya Schiller, Goethe, Lessing dan lain-lain.
Pada waktu itu juga budaya Jerman semakin berprestij apabila dalam alam muzik klasikal muncul penggubah seperti Beethoven, Brahms, Schubert dan Mozart yang merupakan penutur bahasa Jerman.
Potensi bahasa Jerman sebagai bahasa utama dunia terkubur selepas kekalahannya dalam dua perang dunia. Kini kuasa bahasa dunia tidak berada di atas batu jemalanya lagi biarpun sekukuh mana kuasa ekonomi dan kuasa sains yang ada padanya.
2.2 Perancis sebagai bahasa utama
Bahasa Perancis awal terdiri daripada dua bahasa, langue d’oïl di sebelah utara dan langue d’oc di selatan. Bagaimanapun, menjelang abad ke-14 varieti bahasa yang mantap menjadi Perancis piawai ialah bahasa yang digunakan oleh penduduk Paris.
Martabat Perancis di mata dunia memuncak menjelang abad ke-17 dan rasa bangga bahasa yang ada dalam diri sebahagian besar orang Perancis mendorong mereka untuk menjaga dan memelihara bahasa Perancis daripada ternoda dan tercela oleh unsur-unsur asing.
Ramai penulis Perancis yang hebat-hebat juga muncul pada waktu ini, antara lain, Molière dan Racine. Para penulis ini menyumbang kepada pembinaan khazanah kepustakaan ilmu dan sastera yang mengagumkan.
Pada 1635, Kardinal Richelieu, Perdana Menteri Perancis pada waktu itu, menubuhkan l’Académie Française atau ‘Akademi Perancis’ untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan bahasa Perancis.
Akademi ini juga antara lain berperanan untuk menentukan dan mengesyorkan penggunaan bahasa perancis yang baik dan betul dan menyusun kamus Perancis yang baku (kamus ini pertama kali terbit pada 1694).
Bahasa Perancis kemudiannya turut dikembangkan di bumi Amerika, Kanada, Indo-China, Algeria dan Tunisia menjelang abad ke-19 apabila Perancis meluaskan jajahan takluknya.
Namun, kekalahan Perancis di Vietnam merupakan titik mula kepada kejatuhan dan kegagalan bahasa Perancis sebagai bahasa dunia meskipun dengan pengaruh dan peranan Akademi Perancis dalam pemeliharaan dan pelestarian bahasa Perancis.
Hakikat ini juga memperlihatkan batas dan kekangan yang bakal dihadapi oleh mana-mana bahasa yang berhasrat untuk menjadi bahasa utama dunia. Bahasa Perancis merupakan bahasa yang berprestij dan negara Perancis merupakan antara negara terkuat di Eropah (dari segi ekonomi dan ketenteraan), dan orang Perancis merupakan antara bangsa yang paling megah dengan bahasanya sendiri. Namun bahasa ini juga mengalami kemerosotan pengaruh.
Dengan segala keistimewaan dan kelebihan yang ada, dengan segala sokongan daripada pemerintah dan dukungan daripada rakyat, bahasa Perancis masih tidak berupaya untuk menjadi bahasa global, sebagaimana meluas dan sejagatnya penyebaran bahasa Inggeris.
Saingan kedua-dua bahasa ini sudah tidak sesengit seperti saingan pada abad ke-19. Bahasa Inggeris sudah berada jauh di depan. Di bumi Perancis sendiri kata-kata Inggeris semakin banyak dipinjam dan digunakan tanpa silu-silu lagi. Apakah rahsia sebenar kekuatan bahasa Inggeris?
3.0 BAHASA INGGERIS BAHASA GLOBAL
Tatkala Julius Caesar mendarat di Britain sekitar 2000 tahun yang lampau, bahasa Inggeris belum pun wujud. Bahasa Inggeris bangun daripada bahasa yang daif menjadi bahasa yang dominan kerana tiga faktor utama, iaitu politik, kesarjanaan dan teknologi.
3.1 Faktor Politik
Bangkitnya bahasa Inggeris sebagai bahasa global pada dua tiga dekad terakhir abad kedua puluh berpangsi pada kuasa, terutamanya kuasa ketenteraaan.
Bahasa merupakan faktor yang penting dalam membina jati diri. Slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ mendukung hakikat ini. Jati diri sesebuah negara juga sering kali dibina dan dipupuk sebagai pertentangan terhadap kuasa, bangsa atau negara asing.
Dan sepanjang sejarah England, musuh tradisi mereka ialah Perancis. Dengan demikian, bahasa Inggeris adalah bahasa orang Inggeris manakala bahasa Perancis merupakan bahasa musuh negara.
Kebangkitan bahasa Inggeris juga berkait dengan pelayaran dan penemuan laluan baru ke Timur untuk perdagangan rempah ratus. Pelayaran dan perdagangan ini kemudiannya membawa kepada penaklukan dan penjajahan negara-negara di benua Amerika, Afrika dan Asia.
Penambahan jajahan takluk ini adalah disebabkan oleh kekuatan ketenteraan, terutama tentera laut dan peluasan kawasan ini membawa kepada penyebaran meluas bahasa Inggeris, dan kesan sejarah inilah yang meletakkan asas bagi bahasa Inggeris menjadi bahasa antarabangsa. Kesejagatan bahasa Inggeris tidak ada kena-mengena dengan sebarang keistimewaan tertentu yang intrinsik pada bahasa ini.
Peluasan empayar Britain menjelaskan ‘bagaimana’ bahasa Inggeris tersebar ke seluruh dunia tetapi hakikat ini tidak menerangkan ‘mengapa’ bahasa ini masih digunakan dengan meluasnya lima puluh tahun selepas runtuhnya empayar British dan ‘mengapa’ di Malaysia, bahasa Inggeris masih digunakan 51 tahun sesudah Union Jack tidak lagi berkibar di Tanah Melayu.
Kini, kuasa yang mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia, bahasa global bukan lagi kuasa ketenteraan tetapi kuasa yang ada pada institusi dan entiti seperti Bangsa-bangsa Bersatu, Bank Dunia, Hollywood (Emmy dan Oscar), World Wide Web dan Internet.
Hakikat ini menjelaskan mengapa Indonesia, yang tiada sebarang ikatan sejarah yang ketara dengan Inggeris, turut sama mengutamakan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, dan bukannya bahasa Belanda. Demikian juga halnya dengan rakyat Vietnam dan Kemboja yang rata-rata lebih gemar mempelajari bahasa Inggeris daripada bahasa Perancis.
3.2 Kesarjanaan
Bahasa utama sering kali menjadi bahan penelitian para sarjana. Sarjana tidak mencipta bahasa dan tidak juga menjadikan bahasa itu kuat dan berkuasa tetapi mereka berperanan untuk mengupayakan bahasa tersebut agar dapat melaksanakan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu atau bahasa antarabangsa dengan lebih berkesan.
Hasil kesarjanaan yang besar memberikan kredibiliti dan keabsahan kepada bahasa itu sebagai bahasa utama. Sarjana yang meneliti bahasa Inggeris telah dapat mengukuhkan bahasa tersebut melalui usaha mereka dalam pengumpulan teks, pengayaan kosa kata, penyusunan kamus, penyeragaman ejaan dan penulisan tatabahasa.
A. Pengumpulan Teks
Tugas pertama para sarjana adalah untuk menyediakan teks. Tatkala teks asli belum cukup tertulis, para sarjana giat menyediakan teks terjemahan. Demikianlah halnya dengan bahasa Inggeris.
Awal abad ke-16 menyaksikan kegiatan penterjemahan sebilangan besar teks (terutama dari Latin) ke dalam bahasa Inggeris dengan matlamat agar pembaca bahasa Inggeris dapat menimba lebih banyak ilmu dalam pelbagai bidang, dan dengan itu juga suatu khazanah kepustakaan ilmu dalam bahasa Inggeris juga turut terbina.
B. Pengayaan Kosa Kata
Bahasa Inggeris juga berkembang melalui usaha pengayaan dan peluasan perbendaharaan kata. Kaedah utama dalam upaya pengayaan adalah melalui peminjaman daripada bahasa Latin, terutama istilah teknikal yang diperlukan dalam bidang sains dan matematik.
C. Penyusunan Kamus
Salah satu kesan daripada peminjaman dari Latin ini ialah bahasa Inggeris mempunyai banyak kata yang sukar difahami oleh ramai orang Inggeris. Untuk mengatasi masalah itu senarai kata perlu disusun bagi menjelaskan ‘kata-kata sukar’ ini. Usaha terawal dilakukan oleh Robert Cawdrey yang menerbitkan ‘An Alphabetical Table of Hard Words’ pada 1604 dan ini mencetuskan suatu tradisi penyusunan karya yang akhirnya membawa kepada kegiatan perkamusan seperti yang ada sekarang.
Menjelang abad ke-18, usaha telah buat untuk menyusun senarai kata yang lebih lengkap dan antara karya terpenting ialah English Dictionary oleh Samuel Johnson yang terbit pada 1755. Oxford English Dictionary pula mula disusun pada 1884 dan terbit pada 1928. Sehingga ke hari ini kamus tersohor ini masih dianggap sebagai sebuah monumen kepada kesarjanaan bahasa Inggeris.
D. Penyeragaman Ejaan
Biarpun sudah tersedia kamus atau senarai kata, namun membuat rujukan masih merupakan sesuatu yang sukar dilakukan jika belum ada cara mengeja yang piawai.
Usaha untuk mempiawaikan sistem ejaan, termasuk juga tanda baca bermula dengan wujudnya teknologi percetakan.
Pengaruh pencetak London akhirnya membawa kepada sistem ejaan moden Inggeris yang hampir mantap menjelang 1750, justeru itu sebahagian besar ejaan yang ada dalam kamus Johnson masih diguna pakai sampai ke saat ini.
Sebahagian besar perubahan ejaan sesudah ini hanyalah perubahan yang wujud akibat perkembangan bahasa Inggeris versi Amerika Syarikat dengan varian seperti ‘odor’ (odour) dan ‘plow’ (plough).
E. Penulisan Tatabahasa
Penyeragaman ejaan membawa kepada penelitian yang lebih mencabar, iaitu penulisan tatabahasa. Tatabahasa Inggeris mengikut tradisi Latin. Dengan demikian, tatabahasa Inggeris yang dihuraikan menjelang abad ke-17 mengikut rapat model tatabahasa Latin sehinggakan ia menjadikan bahasa Inggeris seperti bahasa Latin.
3.3 Teknologi
Andainya kuasa yang menyebabkan tercetusnya penyebaran bahasa, maka teknologilah yang menyediakan saluran dan kaedah bagi penyebaran tersebut.
Kekuatan dan daya maju sesuatu bahasa dalam abad ke-21 ini akan banyak bergantung pada pelaburan dalam teknologi yang sesuai untuk pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut.
Faktor teknologi yang menyumbang kepada kebangkitan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia dinyatakan di bawah ini.
A. Tulisan
Tulisan merupakan teknologi yang semua teknologi bahasa diasaskan. Sebelum adanya teknologi komputer, satu-satunya cara untuk mengkaji bahasa adalah dengan menulis bahasa tersebut dan meneliti bentuknya yang tertulis.
Bahasa Melayu, seperti juga bahasa Inggeris, mempunyai sejarah tulisan sekurang-kurangnya dari abad ke-7. Ini menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa tertua dunia yang masih digunakan.
B. Percetakan
Percetakan diperkenalkan di England oleh William Caxton pada 1476 dan dengan segera memainkan peranan yang penting dalam memantapkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kegunaan orang Inggeris dalam pemerolehan ilmu. Penerbitan buku dan bahan bacaan menjadi lebih mudah berbanding penghasilan manuskrip sebelum ini.
C. Media Massa
Bahasa Inggeris merupakan bahasa pertama yang disiarkan melalui siaran radio dengan BBC memulakan perkhidmatannya pada 1920-an. Dengan cara ini, bahasa Inggeris yang baik dan baku sampai kepada lebih ramai khalayak Britain.
Perkembangan industri perfileman kemudiannya menyebarluaskan bahasa Inggeris ke serata dunia, terutama Inggeris versi Uncle Sam.
D. Perkomputeran
Tidak salah jika kita meramalkan bahawa komputer pasti mengubah dunia masa depan sebagaimana mesin cetak mengubah dunia sebelum ini. Teknologi berasaskan komputer sudah pun memainkan peranan yang besar terutama dalam bidang telekomunikasi.
Bahasa yang dikaitkan dengan komputer ialah bahasa Inggeris, malah bahasa pemprograman komputer juga diasaskan pada bahasa Inggeris. Dengan demikian, agak sukar bagi seseorang untuk terlibat dalam dunia komputer tanpa mengetahui bahasa Inggeris dan ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa global.
Perkembangan teknologi berasaskan bahasa akan semakin bertambah dan hakikat ini didorong oleh kajian yang dilakukan terutamanya dalam bidang pemprosesan pertuturan dan penterjemahan berkomputer.
Kajian perkomputeran bahasa seperti ini tidak mungkin terlaksana tanpa pengumpulan data bahasa yang besar. Pengumpulan korpus teks ini bermula pada 1960-an dengan korpus sejuta kata teks Amerika (Brown Corpus) dan ikuti dengan Lancaster University mengumpulkan sejuta kata bahasa Inggeris British. Pada 1990-an British National Corpus berjaya mengumpulkan korpus sebesar 100 juta kata dan korpus yang lebih besar daripada ini sedang diusahakan.
4.0 BAHASA MELAYU BAHASA UTAMA
Pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu di Malaysia sebahagian besarnya dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) manakala di Indonesia, pembinaan dan pengembangan bahasa Indonesia diamanahkan kepada Pusat Bahasa.
Kalau diteliti sejarah kebangkitan bahasa Inggeris sebagai bahasa global, kita dapati banyak persamaan dengan usaha yang dilakukan oleh DBP dan Pusat Bahasa dalam memperkasakan bahasa Melayu/Indonesia.
Sebagai penerbit, DBP banyak menghasilkan teks bahasa Melayu dalam bentuk novel, buku teks, buku sains dan sain sosial, puisi dan bermacam-macam lagi. Seperti juga yang berlaku dalam bahasa Inggeris, teks bahasa Melayu ini ditambah dengan penterjemahan teks bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.
DBP juga telah berjaya membina dan membentuk istilah dalam pelbagai bidang untuk keperluan pelbagai jenis ilmu, dan berjaya menghasilkan pedoman umum ejaan yang piawai yang disepakati bersama oleh Malaysia-Indonesia-Brunei Darussalam.
Perkembangan bahasa Inggeris sebagai bahasa gobal tidak didasarkan kepada suatu strategi yang terancang dan tidak ada pula badan pemerintah yang dipertanggungjawabkan untuk menmbangunkannya.
Bagimanapan, pengalaman pembinaan dan pengembangan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain memberikan pengajaran serta panduan untuk kita contohi dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu/Indonesia sebagai salah satu bahasa utama dunia.
Usaha untuk membina korpus bahasa Melayu sudah dimulakan dan sehingga kini korpus DBP sudah pun mencapai saiz 120 juta perkataan. Masalahnya bukan lagi saiz korpus tetapi saiz atau bilangan peneliti yang menggunakan korpus ini untuk membuat kajian bahasa.
Justeru itu, suatu strategi baru perlu dirangka untuk mengangkat bahasa Melayu/Indonesia ke persada global. Strategi in perlu merangkumi dua komponen utama, iaitu teknologi maklumat dan komunikasi dan kegiatan pengantarabangsaan bahasa Melayu.
4.1 Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Teknologi yang ada sekarang pasti akan berubah pada masa akan datang. Oleh itu, kita perlu merancang untuk mengambil kira perkembangan masa hadapan.
Arah aliran sekarang adalah kepada alam budaya remaja yang lebih akrab dengan Friendsters, Facebook dan YouTube. Makanya, setiap perancangan bahasa itu harus mengambil kira generasi muda ini dan mengenal pasti cara mereka memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi sama ada melalui telefon mudah alih atau melalui Web.
4.2 Pengantarabangsaan
Bahasa Melayu/Indonesia harus dipromosikan dalam arena antarabangsa sama ada melalui pertemuan atau persidangan antarabangsa dan melalui projek kerjasama dengan badan-badan penelitian antarabangsa. Dengan demikian lebih ramai lagi 12
peneliti akan membuat kajian terhadap bahasa Melayu/Indonesia dan ini akan meningkatkan lagi profil bahasa ini di mata dunia.
5.0 KESIMPULAN
Kebangkitan bahasa-bahasa Eropah sebagai bahasa utama dunia bukan berpunca daripada sebarang keistimewaan intrinsik yang ada dalam bahasa itu sendiri tetapi kerana bahasa tersebut, Inggeris, Perancis dan Jerman, diupayakan oleh sarjana masing-masing pada abad ke-16 untuk memainkan peranan sebagai bahasa antarabangsa. Sarjana ini banyak meminjam, terutama daripada bahasa Latin dan dengan demikian membolehkan bahasa-bahasa ini berfungsi sebagai bahasa ilmu.
Kedudukan Inggeris pula diperkukuh apabila bahasa ini muncul sebagai bahasa teknologi baru, bahasa dunia hiburan, bahasa teknologi maklumat dan komunikasi, serta bahasa Internet dan World Wide Web. Hakikat bahawa Inggeris muncul sebagai bahasa global berpunca semata-mata daripada situasi geografi dan sejarah ketenteraan.
Lantaran itu, tiada sebab mengapa bahasa Melayu/Indonesia tidak dapat menjadi salah satu bahasa utama dunia. Apa yang perlu dilakukan ialah mengupayakan supaya bahasa ini dapat memainkan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa antarabangsa, sebagaimana bahasa Inggeris melaksanakan fungsinya sekarang.
Untuk mencapai matlamat ini, sarjana bahasa Melayu/Indonesia perlu terus-menerus membina kosa kata, menyusun kamus, memantapkan tatabahasa, menyediakan dan membina teks untuk kajian oleh sarjana lain dan yang lebih utama adalah menerapkan teknologi moden dan mutakhir dalam penelitian, pembinaan dan pengembangan bahasa.
BIBLIOGRAFI
Abdullah Hassan (Ed). 1999. Perancangan Bahasa di Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar. 1993. Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada Perancangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 1995. Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. 2000. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cobarrubias, J. dan Fishman, J. (Ed.). 1983. Progress in language planning: “International perspectives.” The Hague: Mouton.
Collins, J.T. 1998. Malay, World Language: A Short History, 2nd Edition.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Eastman, C. 1983. Language planning: An introduction. San Francisco: Chandler and Sharp Publishers, Inc.
Gordon, R.G., Jr. (Ed.). 2005. Ethnologue: Languages of the World, Fifteenth edition. Dallas, Tex.: SIL International. Online version: http://www.ethnologue.com/.
Grosjean, F. 1982. Life with Two Languages: An Introduction to Bilingualism. Cambridge, MA: Harvard University Press.
Knowles, G dan Zuraidah Mohd Don. 2005. The Rise of English to Global Status. Laporan yang disediakan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak diterbitkan.
Mccrum, R., Cran, W. dan Macneil, R. 1986. The Story of English. New York: Viking.
Sirles, C. 1986. “Evaluating language planning: A procedural outline.” Kertas kerja yang dibentangkan dalam The Annual Meeting of the American Association for Applied Linguistics (New York, NY, December 28, 1986). (ERIC Document Reproduction Service No. ED 285 391).
Weinstein, B. 1983. The Civic Tongue: Political Consequences of Language Choices. New York: Longmans.

Tinggalkan komentar

Belum ada komentar.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

  • Kalender

    • Mei 2009
      S S R K J S M
           
       123
      45678910
      11121314151617
      18192021222324
      25262728293031
  • Cari